Make your own free website on Tripod.com
 
KHUTBAH MASJID NEGARA
KUALA LUMPUR
Tarikh Khutbah : 16/04/1999
Tajuk : SEMPENA MAAL HIJRAH 1420:

Isi Khutbah :
SEMPENA MAAL HIJRAH 1420:

PERPADUAN MEMBENTUK UMAT MAMPAN
 
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Adapun Jumaat pada hari ini adalah Jumaat yang terakhir bagi tahun hijrah 1419. Insya-Allah pada hari esok iaitu hari sabtu adalah awal tahun baru hijrah 1420 ataupun awal bulan Muharam. Memang kita tidak dapat nafikan lagi bahawa masa terus beredar, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun bertukar tahun, namun perubahan terus menerus berlaku. Masa yang lepas menjadi kenangan sejarah yang tidak dapat dikejar kembali, keadaan kita di tahun yang lalu adalah berlainan dengan keadaan kita di tahun ini. Keadaan kita di tahun ini akan berlainan pula dengan keadaan kita di tahun yang akan datang dan keadaan kita di tahun akan datang belum pasti membawa perubahan seperti yang diharapkan. Kita datang ke dunia di dalam masa yang begitu singkat dan kedatangan kita ke dunia mempunyai tujuan yang tertentu pula dan sesiapa yang menyeleweng dari tujuan hidup yang ditentukan adalah hidup di dalam kerugian dan akan berakhir dengan penyesalan yang tidak berkesudahan. Firman Allah di dalam surah al-Asr yang bermaksud
:
"Demi masa, sesungguhnya maanusia berada di dalam kerugian melainkan orang-orang yang beriman dan melaksanakan amal soleh. Dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya Islam telah memperakukan bahawa setiap mukmin itu adalah bersaudara sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
 
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".
 
Setiap orang mukmin biar apa jenis dan bangsanya, warna kulit dan bahasa pertuturannya, di mana sahaja mereka berada di timur dan di barat semuanya adalah sebagai saudara seagama.

Mereka seagama kerana beriman kepada Allah dan RasulNya dan beriman dengan Kitab al-Quran dan perkara-perkara yang tergantung di dalamnya itu telah mengikatkan tali kerabat dalam bentuk maknawi atau perasaan sebagaimana yang berlaku ke atas nisab keturunan dan keluarga.
 
Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab kita bersama memupuk serta menyuburkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain. Kerana perasaan kasih sayang adalah dianggap sebagai prasyarat ke arah penyatuan umat. Dalam hubungan ini nabi kita bersabda yang bermaksud:

"Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah kamu kasih akan saudara kamu sepertimana kamu kasih akan dirimu sendiri".

Saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,
 
Dengan cara persaudaraan ini Islam menyeru penganutnya di seluruh dunia supaya bersatu padu di dalam ukhwah Islamiah berpegang teguh dengan ajaran Allah dan mengelakkan dari punca-punca yang boleh membawa kepada perpecahan dan perseteruan sehingga semua orang Islam dapat menjalani ukhwah Islamiah di bawah panji-panji al-Quran di mana ia merupakan sebagai perlembagaan yang dijadikan sumber hukum dan perundangan selaras dengan dasar persaudaraan, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Saudara sidang Jumaat sekalian,
 
Islam mahukan umatnya bersatu dalam kekeluargaan Islam sejagat dan mengukuhkan ikatan muhibahnya dalam segenap lapangan hidup. Ertinya dalam masalah keagamaan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan segenap kegiatan hidup sehingga dapat melancarkan bahtera hidup di dunia ini dengan aman tenteram dan harmoni tanpa memandang kepentingan kebendaan.

Oleh itu, Islam melarang sama sekali daripada melakukan sesuatu atau tindak tanduk yang boleh menambahkan atau membawa kepada perpecahan dan krisis sesama orang Islam samada yang berkaitan dengan masyarakat Islam atau sesuatu yang boleh menggugat keharmonian.

Islam melarang umatnya berperang sesama sendiri dan memerintahkan supaya segera berdamai sekiranya meletus satu-satu peperangan dengan merujukkan ajaran Islam demi untuk mengekalkan perpaduan dan persaudaraan.

Tapi malang seribu kali malang, nampaknya ajaran Islam yang telah dibuktikan bahawa umat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sahajalah yang berjaya menempa sejarah keagongan, tamadun dan keharmonian itu telah diabaikan atau dilupakan pengajarannya sama sekali.

Sebenarnya perpecahan dan krisis yang berlaku itu adalah berpunca dari longgarnya keyakinan orang-orang Islam terhadap kewibawaan Islam sendiri yang mampu menyelesaikan segala masalah hidup dan sikap orang Islam sendiri yang kurang mengambil berat dengan pengajkaran Islam dalam masalah tersebut supaya perkara-perkara buruk tidak berlaku dalam masyarakat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sekiranya kita meneliti dan dan meninjau perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam hari ini di sebabkan sikap yang suka merendah-rendahkan orang lain yang juga beriman kepada Allah dan RasulNya. Ini juga boleh merenggangkan hubungan antara satu sama lain? Bukankah orang yang mengganggap dirinya sahaja yang baik, yang bijak dan mempunyai sifat-sifat yang baik dan sempurna manakala orang lain semuanya tidak betul, lemah dan sebagainya ini juga akan merenggangkan hubungan persaudaraan sesama sendiri. Begitu juga bukankah orang-orang Islam itu bersaudara, ia bagaikan satu tubuh andainya menghina seseorang Islam seolah-olah ia menghina dirinya sendiri atau bagaikan kata pepatah "Meludah ke langit jatuh ke muka sendiri", bukankah mengamalkan perasaan buruk sangka amat ditegah oleh Islam. Inilah selalunya yang menyebabkan perpecahan, persengketaan dan krisis samada dalam keluarga, kampung, masyarakat dan negara hingga menyebabkan timbul berbagai-bagai penyakit masyarakat yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian masyarakat dan negara?

Oleh yang demikian, bila mengakui hakikat ini marilah kita bersatu padu mengukuhkan hubungan muhibah berdasarkan persaudaraan Islam bukan kerana kepentingan dan tujuan-tujuan tertentu, biarlah kita padukan niat, percakapan dan perbuatan kita dalam apa juga hal kerana Allah semata-mata hingga gerak-laku, percakapan dan niat kita itu semuanya dikira sebagai ibadah yang akan mendapat kejayaan hidup di dunia dan keredhaan serta kebahagiaan hidup di akhirat kelak, Insya-Allah. Amin Ya Rabbal ?Alamin.

Khutbah disediakan oleh: Ustaz Kamaruddin bin Zakaria

Tarikh: 16 April 1999