Make your own free website on Tripod.com
Laman Awal

KHUTBAH MASJID NEGARA
KUALA LUMPUR

Tarikh Khutbah : 23/02/2001
Tajuk : KETEGUHAN EKONOMI TUNTUTAN AGAMA

Isi Khutbah :
Hendaklah kita sentiasa bertakwa kepada Allah, dengan melakukan segala perintahnya dan menjauhi segala tegahannya, moga-moga kita akan mendapat kecermelangan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Agama Islam sangat menggalakkan bagi penganut-penganutnya untuk meninggikan taraf hidup di dunia ini, lebih-lebih lagi untuk mengukuhkan ekonomi. Ini bermakna Islam tidak melarang umatnya bekerja disetiap bidang kerjaya asalkan kerja-kerja itu yang diharus oleh hukum syarak. Di samping itu jangan lupa dan lalai membuat amal ibadat, patuh kepada Allah s.w.t. kerana itulah yang paling utama sebagaimana firman Allah s.w.t. :

Yang bermaksud : Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melempah-lempah) dan janganlah engkau melakukan kerosakkan dimuka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakkan. (al-Qasas:77)

kita dituntut bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh disetiap bidang yang kita ceburi. Samada bidang pertanian, bidang perniagaan juga pekerja-pekerja di pejabat kerajaan, dipejabat swasta dan sebagainya asalkan usaha-usaha yang kita lakukan itu adalah halal dan boleh membawa kepada kesejahteraan umat atau bangsa juga negara. Sesungguhnya sesuatu bangsa itu tidak akan merasa kenikmatan, kesempurnaan hidup dan keteguhan ekonomi negaranya, melainkan dengan memperbanyakkan tenaga pekerja yang rajin, mahir dan berkhimat.

Kita umat Islam dilarang berangan-angan kosong dan berkhayal dengan berpeluk tubuh dengan semata-mata berharap dan berserah kepada Allah sahaja untuk menentukan keadaan taraf hidup dan ekonomi kita. Kita mesti rajin bekerja dan berusaha sebagaimana sabda Rasul s.a.w. :

Yang bermaksud : Sesungguhnya seseorang yang memikul kayu api dari hutan untuk jualan, beliau memikul kayu atas bahunya lebih baik daripada ia meminta-minta bantuan dari seseorang, maka mungkin diberi atau mungkin tidak. (Muttafaqun 'Alaih)

Pengajaran dari hadis rasulullah s.a.w. itu bahawa kita hendaklah berusaha menaikkan taraf ekonomi kita dengan keluarga kita dahulu, dengan sendirinya dia ada hubung kait untuk menaikkan/meneguhkan ekonomi negara. Dengan dilihat rakyat sesebuah negara itu hidup mewah dengan sendirinya bahawa negara itu negara yang mewah, sebaliknya kalau rakyat sesebuah negara itu hidup melarat, maka dengan sendirinya bahawa negara itu negara yang mundur dan muflis.

Untuk meningkatkan ekonomi, pasti kita pandai merancang setiap kerja-kerja yang kita akan lakukan dari masa kesemasa mesti dengan perancangan yang amat teliti lebih-lebih lagi merancang masa hadapan kita. Dan yang lebih sedih lagi mereka tidak merancang untuk akhirat mereka. Mereka tidak berusaha untuk meningkatkan amalan mereka saban tahun. Tahun demi tahun amalan mereka sama sahaja, atau lebih buruk lagi semakin mengurang. Orang seperti ini akan rugi kedua-duanya, rugi didunia dan akhirat. Didunia dia hidup miskin dan hina, diakhirat juga dia tidak mendapat apa-apa. Semoga kita terlindung dari menjadi orang-orang seperti ini.

Bagaimana kita merancang dan berusaha untuk akhirat? Jawapannya adalah satu. Dengan ilmu, kerana dengan ilmu seseorang itu boleh meningkatkan kejayaan dari setingkat kesetingkat hinggalah keperingkat yang lebih tinggi dan mulia.

Sebagaimana firman Allah s.w.t. :

Yang bermaksud : Diangkat oleh Allah orang-orang yang beriman daripada kamu dan orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat atau kelebihan. (al-Mujadalah:11)

ilmu akan memberikan seseorang kemampuan untuk merancang. Ilmu akan menjamin seseorang melakukan ibadatnya dengan betul dan diterima Allah. Ilmu juga akan mendorong seseorang agar terus berusaha dan merancang. Maka carilah ilmu. Hargailah ilmu. Nilai ilmu tidak terhingga dan ilmu itu adalah pemberian berharga dari Allah kepada kita, lebih dari wang ringgit dan harta dunia.

Islam menyuruh manusia supaya rajin dan tekun bekerja untuk mencapai kejayaan dan meningkatkan tahap ekonomi. Islam melarang umatnya malas bekerja dan hanya berpeluk tubuh. Kita disuruh bangun awal pagi untuk menunaikan sembahyang dan tidak digalakkan dengan hanya mengharap bantuan semata-mata samada dari pihak kerajaan atau swasta dan kita dituntut supaya sentiasa mencari rezeki-rezeki Allah dimuka bumi yang luas ini. Sebagaimana firman Allah :

Yang bermaksud : Maka apabila selesai menunaikan sembahyang maka hendaklah kamu bertebaran dimuka bumi dan carilah rezeki kurniaan Allah dan sebutlah Allh sebanyak-banyaknya supaya kamu mendapat kejayaan (di dunia dan di akhirat). (al-Jumu'ah:10)

Sabda Rasulullah s.a.w :

Bermaksud : Hendaklah kamu berpagi-pagi mencari rezeki yang halal, sesungguhnya ia membawa keberkatan dan kejayaan. (Muttafaqun 'Alaih)

Seseorang muslim yang berwawasan hendaklah mempunyai azam dan semangat yang tinggi untuk menjalankan kerja-kerja seharian supaya semua kerja yang dijalankan didalam apa-apa bidang pun berjaya dengan baik kerana dengan berjayanya kerja-kerja itu membawa kepada ekonomi kita bertambah. Dengan bertambahnya ekonomi maka bertambah majulah negara kita. Moga-moga kita akan dijadikan sebagai umat Islam yang dihormati dan disegani khususnya negara Malaysia yang tercinta ini dan seluruh dunia amnya.